TAJUK : GEJALA LEPAK
DALAM KALANGAN REMAJA
DI SEKITAR BANDAR BUKIT
MERTAJAM: SATU TINJAUAN AWAL.
1.0
PENGENALAN
Gejala melepak
bukanlah satu fenomena baru dalam masyarakat Malaysia. Malahan gejala ini turut menjadi penyakit sosial dalam
masyarakat dunia amnya. Menurut Kamus Dewan Edisi 4 : Melepak ditafsirkan
sebagai berbuat sesuatu yang tidak mendatangkan faedah seperti duduk-duduk di
sesuatu tempat tanpa tujuan dan maksud tertentu. Tabiat begini bukan sahaja
membuang masa tetapi memupuk sikap malas dan culas selain melahirkan generasi
tidak produktif. Tabiat melepak dilihat sebagai satu penyakit sosial yang perlu
dibendung kerana ia cenderung menwujudkan masalah sosial yang lain seperti
merokok, penagihan dadah, gengsterisme, vandalisme dan keruntuhan akhlak.
Tambahan pula, gejala sosial ini melibatkan golongan remaja lelaki dan
perempuan yang menjadi generasi bakal
pemimpin negara di masa hadapan. Menurut
tafsiran Kamus Oxford: remaja ialah tahap umur individu yang mulai dewasa, akil
baligh atau sudah cukup umur untuk
berkahwin. Remaja adalah tahap umur matang yang sudah seharusnya sudah
mampu berfikir dan membuat keputusan dengan baik. Hall (1904) (dalam Azizi
Yahaya, 2008 ) menjelaskan, remaja sebagai kumpulan individu yang sedang berada
dalam zaman yang penuh emosi dan tekanan dalam memikirkan tujuan dan arah
kehidupan mereka. Oleh itu, remaja memerlukan sokongan dan bimbingan ibu-bapa
atau orang yang lebih dewasa dalam membuat keputusan dan tindakan mengikut
norma-norma masyarakatnya. Apabila menghadapi konflik dalam kehidupan
sosialnya, remaja akan mencari alternatif untuk keluar daripada masalah. Melepak adalah salah satu
aktviti yang giat dilakukan oleh remaja bermasalah. Lokasi yang menjadi
kegemaran remaja melepak ialah di khalayak ramai iaitu tempat-tempat awam.
Hakikatnya, golongan remaja melepak ini cuba
menarik perhatian umum bagi
mempamerkan jiwa mereka yang memberontak. Berpandukan Hierarki Maslow dalam
teori Maslow (1968), individu perlu memenuhi keperluan fisiologi dan psikologi
secara berperingkat dari yang terendah kepada yang tertinggi. Jika individu
gagal memenuhi keperluan dalamannya maka akan berlakulah gangguan fisiologi dan
psikologi. Kesukaran mencapai kesempurnaan diri dan gagal mencapai peringkat
yang lebih tinggi dalam hierarki akan
menyebabkan remaja cenderung
bertindak bertentangan norma sebenar. Tabiat melepak menjadi budaya bagi
golongan remaja yang cuba mempertahankan ego dan nilai dirinya. Permasalahan
ini perlu dikaji dan diberi perhatian agar gejala melepak tidak berterusan
menjadi budaya dalam masyarakat.
1.1 OBJEKTIF
KAJIAN
a) Mengenal
pasti faktor-faktor yang menggalakkan aktiviti melepak dalam kalangan
remaja.
b) Mengenal
pasti kesan budaya lepak dalam kalangan remaja terhadap proses sosiolisasi.
c) Mengenal
pasti kesan budaya lepak dalam kalangan remaja terhadap struktur sosial
masyarakat.
1.2 KEPENTINGAN KAJIAN
a)
Memberi panduan kepada
pihak pentadbiran sekolah dan intitusi pengajian dalam
merangka dan menguatkuasakan peraturan yang sesuai dan relevan dengan persekitaran.
b)
Memberi
kesedaran kepada pihak ibu-bapa dan ahli keluarga amnya supaya tidak
memandang
remeh terhadap budaya lepak yang menjadi ikutan remaja dan juga ahli keluarga
sendiri.
c)
Memberi
kesedaran kepada ahli masyarakat agar sentiasa peka dan bersedia memberi
kerjasama
dalam membanteras gejala sosial seperti budaya lepak ini .
d)
Membantu pihak
berkuasa tempatan dalam mengenal pasti tempat-tempat tumpuan
remaja dan bertindak
untuk mengatasi masalah budaya lepak dalam kalangan remaja.
2.0
SOROTAN
LITERATUR
Budaya
melepak merupakan penyakit sosial yang melanda remaja lelaki dan perempuan
dalam lingkuangan umur diantara 14
hingga 21 tahun. Amalan melepak ini sudah dianggap satu budaya dalam kalangan
remaja khasnya di sekitar kawasan pinggir bandar dan kawasan bandar. Budaya ini
berkembang dengan cepat seiring dengan kepesatan kemajuan dan perbandaran.
Dengan
adanya pusat-pusat membeli-belah, pusat rekreasi dan pusat-pusat hiburan, maka
kegiatan melepak semakin menjadi-jadi. Merujuk kepada petikan akhbar tempatan
(Berita Harian,15 Februari 1994),Datuk Dr. Abdul Hamid Othman menjelaskan
bahawa budaya melepak berkembang dalam suasana masyarakat yang tidak
mengamalkan sikap tegur-menegur sebaliknya beranggapan tidak perlu mencampuri
hal-hal urusan orang lain. Gejala melepak ini mula melanda masyarakat yang
mendiami perkampungan baharu di sekitar bandar biasanya sibuk dengan kerjaya
dan mengabaikan nilai-nilai hidup masyarakat tradisional. Ann Wan Seng (1994), kegiatan melepak diamalkan oleh remaja yang merasai dirinya tersisih
daripada masyarakat. Rasa rendah diri dan ego yang tercabar menyebabkan remaja mula
memberontak dan memilih aktiviti berkumpulan untuk menonjolkan diri. Melepak
merupakan satu cara mudah untuk membuktikan kehebatan diri. Menurut Kaplan
1975, (dalam Azizi Yahaya dan Nalini Madavan, 2007) budaya lepak adalah
berkaitan dengan psikopatologi iaitu masalah personaliti, gangguan mental,
gangguan emosi, selalu anxieti atau depresi. Golongan remaja yang terjebak
dalam budaya lepak adalah mereka yang mempunyai masalah keluarga, sukar membina
hubungan rapat dengan ahli keluarga, kekurangan perhatian dan kasih sayang
serta diabaikan.
Laporan Kajian Kementerian Belia dan Sukan
turut memuatkan hasil kajian oleh Prof. Madya Dr. Samsudin A. Rahman ( dimuat
turun daripada www.prostar.gov.my) yang
mendapati 18% daripada 6,110 remaja yang ditemubual mempunyai rakan yang terlibat dalam hubungan seks sebelum
berkahwin. Remaja berprestasi lemah yang terlibat dalam gejala sosial ialah 26%
berbanding 17% lagi adalah remaja yang berprestasi cemerlang. 40% remaja pernah
menonton video lucah atau membaca bahan bacaan lucah. Hasil kajian ini juga
mendapati semua masalah sosial yang berlaku adalah berpunca daripada budaya
lepak yang menjadi amalan remaja bermasalah ini. Petikan rencana dalam kolum pembaca dalam
Utusan Malaysia, 11 Mac 1993,( dimuat turun daripada http://mutiaraislam.wordpress.com
) menyatakan bahawa budaya lepak
merupakan satu tabiat remaja yang sukar dibendung. Ini terbukti dengan kajian
yang dijalankan di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati 90% remaja
Cina akan terus pulang ke rumah selepas persekolahan, 72% remaja India juga
turut bertindak yang sama, sebaliknya
hanya 5.8% remaja Melayu yang berbuat demikian. Ini menjelaskan bahawa
sebahagian besar remaja Melayu aktif dalam kegiatan melepak sebelum pulang ke
rumah.
Azizi Yahaya dan Gan Lui Nam (2008), dalam
kajian Pendekatan Teori Terhadap Gejala Lepak telah menegaskan bahasa budaya
lepak yang menjadi amalan dan ikutan remaja boleh dikaitkan dengan beberapa
teori tingkah laku manusia. Teori Perkembangan Psikososial yang diperkenalkan
oleh Erikson (1956) menjelaskan bahawa manusia mengalami perkembangan
psikososial secara berperingkat mengikut tahap. Jika manusia menghadapi
konflik, tingkah laku mereka turut berubah ke tahap seterusnya. Pada tahap 5,
remaja akan membentuk identiti dan persepsi kendiri terhadap dunia mereka.Teori
ini menegaskan bahawa remaja yang dididik dengan kasih sayang, keyakinan dan
penghargaan akan mampu membentuk identiti yang positif. Sebaliknya remaja
terabai akan membentuk identiti yang negatif dan hidup dalam kekecewaan,
kemarahan dan kekeliruan. Mereka akan
mencari kekuatan diri secara berkumpulan dan melakukan pelbagai masalah
perilaku bermula dengan aktiviti melepak.
Idris (2000) dalam kajiannya tentang
fenomena budaya lepak dalam kalangan remaja di sebuah bandaraya, telah mengenal
pasti beberapa punca budaya lepak. Faktor yang paling utama ialah keruntuhan
rumah tangga, kerenggangan hubungan kekeluargaan dan kurang didikan agama. Kekurangan
ini melahirkan remaja-remaja yang tidak bermoral dan mudah terjebak dengan
perilaku negatif dan bertentangan dengan norma-norma masyarakatnya. Ini jelas
membuktikan bahawa ilmu keibubapaan dan agama amatlah penting dalam melahirkan
insan cemerlang. Seorang ahli psokologi Robert J.Havighurst berpendapat bahawa matlamat remaja ialah membentuk
hubungan baru yang lebih matang dan bermakna dengan rakan-rakan sebaya dan
sealiran. Mereka tidak gemar bersendirian sebaliknya bergerak aktif dalam
kumpulan. Kegiatan yang menjadi pilihan remaja ialah melepak kerana selain menghiburkan
mereka dapat menonjolkan jiwa nakal mereka.
Kajian
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai The
effect of TV Violence on Malaysian Children pada 1983 menunjukkan rancangan
televisyen seperti kartun dan drama yang memaparkan aksi ganas mempengaruhi
minda kanak-kanak melakukan jenayah. Sebagai contoh, kartun Popeye dan Superman yang disiarkan mengandungi elemen ganas yang menyebabkan
kanak-kanak mudah terpengaruh. Kanak-kanak tidak mempunyai ketahanan daya
saring dan tidak mampu membezakan perkara baik dan buruk menyebabkan mereka
menerima apa yang dilihat ditelevisyen. Kajian CAP membuktikan bahawa salah
satu punca kelunturan
akhlaknya remaja hari ini berpunca daripada program-program yang mereka tonton pada zaman
kanak-kanak mereka. Remaja yang runtuh akhlaknya mudah terjerumus dalam banyak
sosial, antaranya ialah gejala lepak. Pengerusi
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid,
mendedahkan sebanyak 9.82 peratus atau 138,331 kes jenayah di negara ini dalam
tempoh dua tahun lalu membabitkan golongan remaja. Menurutnya, sebanyak 300 hingga 600 kes jenayah juvana
berlaku setiap tahun dan melibatkan kes salah laku mencuri, pecah rumah dan gangsterisme. Jenayah
kecil yang semakin popular dalam kalangan
remaja kini ialah perbuatan melepak. Tabiat negatif ini dilihat sebagai
permulaan kepada masalah sosial lain.
3.0
METADOLOGI
3.1 REKA BENTUK KAJIAN
Reka
bentuk kualitattif digunakan oleh pengkaji untuk memperolehi hasil kajian.
Kaedah tinjauan yang dijalankan berdasarkan pemerhatian dan temubual. Kaedah
ini sesuai dan mudah dijalankan kerana terdapat batasan waktu untuk membuat
tinjauan. Hasil dapatan dinyatakan secara deskriptif dan disokong dengan data
dan rajah untuk menghuraikan hasil pemerhatian dan temubual. Ahmad Lisot ,1988
( dalam kajian Azizi, Jamaludin dan Yusuf ) menjelaskan bahawa kajian berbentuk
deskriptif paling sesuai digunakan dalam kajian yang menerangkan sesuatu
fenomena dan konflik dalam sesbuah masyarakat. Sehubungan dengan itu, intipati
kajian ini adalah mengkaji fenomena budaya lepak dalam kalangan remaja di
sebuah pusat memberli-belah disebuah bandar iaitu di bandar Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.
3.2 POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN
Kajian
yang dijalankan ini tertumpu pada populasi yang telah di pilih iaitu di
kompleks membeli belah SUMMIT yang terletak di tengah bandar Bukit Mertajam,
Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Kajian ini menggunakan startegi pemilihan
persempelan ‘snowball’ untuk mendapatkan maklumat daripada responden. Pengkaji
telah mengenal pasti lokasi dan remaja yang sesuai sebagai responden. Daripada
dua orang responden, pengkaji dapat mengenali beberapa orang responden lain
untuk mendapatkan maklumat lanjut. Seramai 10 orang remaja
pelbagai
perwatakan yang berusia antara 16 hingga 19 tahun telah dikenal pasti. Daripada
10 orang itu, 5 orang adalah rermaja perempuan dan 5 orang remaja lelaki.
Responden yang dipilih adalah terdiri daripada 3 kumpulan remaja yang berbeza. Kumpulan
pertama terdiri daripada 3 pasangan remaja, kumpulan kedua ialah 2 orang remaja
perempuan yang bergaya lincah manakala kumpulan ketiga ialah 2 orang remaja
lelaki yang mempunyai perwatakan lembut.
3.3 KAEDAH DAN TEKNIK PENGUMPULAN DATA
Kajian
yang dijalankan ini berasaskan kepada kaedah temubual dan kaedah pemerhatian
sahaja. Melalui kaedah temubual, pengkaji menjalankan temubual secara tidak
formal dengan responden setelah mendapat keizinan dan kerjasama yang baik
daripada mereka. Temubual yang dibuat adalah berkisar tentang latar belakang
masing-masing serta berpandukan soalan-soalan yang telah ditetapkan oleh
pengkaji. Maklumat dan data yang diperolehi ditanda dalam borang temubual
yangtelah disediakan untuk dianalisa sebagai dapatan kajian.
Selain
itu, kaedah pemerhatian juga turut dijalankan pada sebelum, semasa dan selepas
temubual diadakan. Tujuan permerhatian ini ialah untuk mengesan aspek perubahan
tingkahlaku responden, cara mereka bersosial dan cara mereka bertindak balas
pada situasi dan persekitaran. Di samping itu, pengkaji juga turut menyediakan
soalan-soalan pemerhatian sebagai panduan semasa menjalankan proses
pemerhatian. Data dan maklumat yang diperolehi akan ditanda dan dijadikan bukti
sebelum membuat analisa dan rumusan di akhir kajian. Hasil dapatan kajian akan
disampaikan dalam bentuk deskriptif dan disokong dengan penerangan pada carta.
4.0
DAPATAN
KAJIAN
Hasil
daripada pemerhatian, 10 orang responden berbangsa Melayu telah dikenal pasti
sesuai dijadikan sampel kajian ini. Lokasi yang menjadi tumpuan remaja yang
bermasalah lepak di kompleks SUMMIT ialah di pusat bowling, pusat permainan
video, mini pawagam, internet kafe dan persiaran terbuka di aras 2 bangunan
tersebut. Responden yang dikenal pasti bukanlah mengunjungi tempat-tempat
tersebut sebagai pelanggan, sebaliknya hanya duduk berbual-bual di suatu sudut
sambil memerhatikan pengungjung lain yang lalu lalang dan yang berurusan di situ.
4.1 LATAR
BELAKANG RESPONDEN
a)Responden 1
Seorang
remaja perempuan yang juga penuntut kolej berumur 18 tahun. Responden berasal
dari Kedah dan tinggal menyewa bersama rakan sepengajian. Merupakan anak bungsu
daripada 6 beradik. Ibu bekerja sebagai pekerja kilang dan bapa pekerja buruh
binaan. Responden juga merupakan teman serumah responden 2.
b)Responden 2
Seorang
pelajar perempuan yang berasal dari Pulau Pinang berumur 19 tahun dan merupakan
anak ke 3 daripada 4 beradik. Gemar duduk menyewa dengan rakan walau pun alamat
tempat tinggal tidak jauh dari tempat pengajian. Ibunya seorang jururawat dan ayah
pula seorang kontraktor.
c)Responden 3
Seroang
pelajar perempuan-pelajar tingkatan 5 yang berumur 17 tahun. Merupakan anak ke
4 daripada 7 beradik dan mempunyai pertalian saudara dengan responden 2.
Responden masih tinggal dengan ibu bapa. Ibunya seorang suri rumah dan ayah pula
bekas pegawai tentera. Responden sering ponteng sekolah dengan alasan sering sakit. Responden tidak
gemar ke sekolah kerana tidak suka dengan guru mata pelajaran Kimia dan Sains.
d) Responden 4
Seorang
pelajar tingkatan 4, berumur 16 tahun
dan merupakan anak bungsu. Tinggal dengan kakak dan abang ipar setelah ibu bapa
meninggal dunia 2 tahun lalu. Merupakan jiran kepada responden 5. Responden mengambil
kesempatan melepak dengan rakan setelah
tamat waktu persekolahan tetapi tidak keluar rumah pada hari cuti persekolahan
kerana takutkan abang ipar seorang pegawai polis yang garang dan tegas.
e) Responden 5
Merupakan
anak perempuan tunggal daripada 3 adik beradik dan berumur 17 tahun.
Rakan
sekolah responden 4. Seorang yang suka bergaya dan gemar meninjau tempat-tempat
membeli belah kerana kagum dengan fesyen pakaian terkini yang ada dijual di
sana. Responden juga mendapat duit poket
bulanan yang lumayan daripada bapa yang tinggal berasingan dengan ibu. Status
ibu-bapa tidak bercerai tapi duduk berasingan kerana masalah kerjaya.
f) Responden 6
Merupakan
anak lelaki ke 2 daripada 5 adik beradik dan berumur 19. Memilih menjadi
seorang penganggur tamat persekolahan
tingkatan 5. Tidak beminat melanjutkan pelajaran walau pun pernah mendapat
tawaran. Ibunya seorang kerani manakala
bapa seorang peniaga kedai runcit di kampung. Mempunyai sikap suka bergaya dan
suka merokok apabila berkumpul bersama rakan tetapi tidak semasa di rumah kerana
ayahnya tidak merokok.
g) Responden 7
Seorang
pelajar kolej berumur 19 tahun dan merupakan anak sulung daripda 3 beradik.
Merupakan teman lelaki kepada responden 2 dan telah mengenali responden 6 sejak di bangku sekolah lagi. Ibunya berstatus
ibu tunggal akibat penceraian. Sanggup tinggal di asrama kolej kerana tidak
mahu terkongkong di rumah. Mempunyai masalah sikap dan kuat merokok.
h) Responden 8
Seorang
remaja lelaki berumur 19 tahun dan merupakan anak ke 2 daripda 2 beradik. Bekerja
sambilan sebagai pembantu di gerai burger milik abang sendiri. Responden memilih untuk berdikari di usia muda dan enggan melanjutkan
pelajaran walau pun mendapat tawaran. Sudah 10 tahun dibesarkan oleh nenek
kerana ibu bapa berpisah dan berkahwin lain.
i) Responden 9
Seorang
pelajar lelaki berusia 17 tahun dan tinggal dengan ibu-bapa yang bekerja di sebuah
hospital . Merupakan anak tunggal dan tidak
suka berada seorang diri di rumah. Memilih untuk melepak dengan rakan dengan
alasan belajar bersama-sama. Mempunyai perwatakan yang agak lembut terasa di
pinggirkan oleh rakan-rakan sekolah. Sering dimarahi guru kerana masalah
disiplin dan gemar melepak di internet kafe.
j) Responden 10
Seorang
pelajar lelaki- berusia 17 tahun dan rakan karib kepada responden 9. Turut mempunyai
perwatakan yang lembut dan suka melepak bersama rakan dengan alasan pergi ke
kelas tambahan disebuah pusat tuisyen di bandar. Mempunyai masalah disiplin
kerana sering ponteng kelas dan suka melepak di internet kafe.
4.2 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GEJALA
LEPAK
Hasil daripada temubual yang dibuat
keatas 10 responden dan pemerhatian pada persekitaran lokasi remaja melepak,
beberapa kesimpulan dapat dibuat. Di antara faktor utama ialah faktor keluarga,
pengaruh rakan sebaya, pengaruh modenisasi dan pengaruh media serta internet.
a) Peranan Ibu-bapa Dan Pengaruh Keluarga
Bentuk
asuhan ibu bapa dan peranan ahli
keluarga merupakan faktor penyumbang utama gejala lepak dalam kalangan remaja. Ibu
bapa authoritarian yang mengenakan hukuman dan peraturan yang melampau terhadap
anak-anak akan menyebabkan remaja memberontak dan mencari inisiatif sendiri
untuk lari dari tekanan. Ada juga ibu bapa yang terlalu permisif dan
tidak
mahu bertanggungjawab terhadap kehidupan anak-anak. Selain itu, sikap ibu bapa
indulgent yang kurang mementingkan disiplin anak-anak menyebabkan remaja tidak
tahu mematuhi peraturan. Dapatan kajian menunjukkan sebanyak 70% responden
bebas melakukan aktiviti lepak di khalayak ramai di kompleks membeli belah tanpa pengetahuan dan kawalan ibu bapa. Pengaruh
bapa dan ahli keluarga terdekat yang
menjadi perokok turut memberi kesan kepada remaja lelaki khasnya. Hasil
kajian menunjukkan sebanyak 60% responden lelaki dan 20% responden perempuan
merokok. Kurang komunikasi dalam keluarga menyebabkan remaja memilih rakan
sebaya atau orang luar sebagai saluran untuk meluahkan perasaan dan masalah. Sebanyak
40% remaja mengalami tekanan di rumah memilih aktiviti lepak sebagai aktiviti
yang boleh menghilangkan stres. 40%
daripada responden dibesarkan oleh ibu tunggal atau dibawah penjaga, menyebabkan remaja rasa
terabai dan kurang kasih sayang. Pengabaian didikan agama pula telah meruntuhan
kesopanan dan keimanan individu. Hasil
pemerhatian, 40% remaja perempuan gemar
berpakaian mendedahkan aurat mata tanpa rasa segan silu apabila berada di
khalayak ramai. Hilangnya nilai-nilai agama, moral dan kesopanan menyebabkan 20%
remaja beraksi kurang sopan dengan
pasangannya sambil berdua-duaan. Di dapati 80% daripada responden berlagak
jahil agama dan mengakui tidak pernah mengerjakan sembahyang dan berpuasa
semenjak berada di bangku sekolah menengah. Hal ini berlarutan kerana perbuatan
mereka tidak dapat dikesan atau ditegur oleh ibu bapa. Kurangnya didikan agama
dan sikap ibu bapa yang mementingkan urusan kerjaya menjadikan remaja bertindak
bebas.
d) Pengaruh
Rakan Sebaya.
Temubual
dan pemerhatian yang dibuat ke atas responden membuktikan bahawa 50% remaja
yang terlibat dalam gejala lepak adalah pelajar sekolah menengah. Selebihnya
adalah remaja yang tercicir dan juga pelajar di
institusi pengajian tinggi. Kritikan daripada rakan-rakan serta guru di
sekolah menjadi punca pelajar bermasalah
berasa terpinggir dan memilih aktiviti lepak sebagai jalan keluar dari masalah
tersebut. Hasil tinjauan mendapati sebanyak 60% remaja terjebak dalam aktiviti
lepak adalah kerana pengaruh rakan. Mereka yang menghabiskan masa melepak di
khalayak ramai ini tidak memilih rakan, sebaliknya mereka turut bergaul dengan
pelajar yang tercicir. Remaja yang lemah akan mudah terpengaruh dengan rakan yang lebih dominan. Personaliti
rakan yang negatif akan menjadi ikutan dan diterima dalam kelompok
mereka.
Hasil
pemerhatian mendapati, kelompok remaja lepak dapat dikesan dengan mudah
menerusi cara mereka berpakaian dan menghias diri. Ada kelompok yang gemar
berpakaian serba hitam lengkap dengan aksesori bercorak unik dan ada pula
kelompok remaja yang selesa berpakaian ala hip-hop dan bertopi. Hasil temubual
mendapati bahawa 50% remaja memilih mencari hiburan di luar dan menikmatinya
bersama rakan-rakan atau pasangan. Rasa tidak selesa dan tekanan yang dirasai
dari rumah menyebabkan remaja memilih untuk melepak bersama rakan-rakan.
e) Pengaruh
media dan saluran internet
Kajian
ini menunjukkan 40% daripada responden gemar melepak bersama rakan di internet
kafe. Menerusi laman sembang di internet
seperti facebook, twiter dan skype
remaja mampu memperolehi rakan baharu dengan cepat dan mudah tanpa perlu
bersemuka. Menerusi laman-laman web yang
tidak dikawal, remaja turut terdedah dengan maklumat dan unsur negatif seperti
unsur-unsur ganas dan lucah. 60% daripada responden yang di temubual memilih
berada di pusat permainan, siber kafe dan mini pawagam bersama rakan. Mereka
akan menghabiskan masa untuk berhibur dan melepak sekitar 5 hingga 8 jam sehari pada hujung
minggu dan 3 hingga 4 jam sehari pada hari persekolahan.
f) Taksub Kepada Modenisasi Dan
Budaya Asing.
Baik
remaja lelaki mahu pun perempuan gemar berpeleseran dan tinjauan menunjukkan
60% daripada responden berbuat demikian. 40% daripada responden perempuan
menyatakan amat gemar membeli belah atau meninjau kedai-kedai yang menjual
barangan perhiasan dan pakaian wanita.
Kegilaan pada fesyen dan gemar bergaya menjadikan remaja ini menghabiskan masa
dan wang untuk memenuhi keinginan mereka. Duduk berjauhan daripada ibu-bapa
atau tiada kawalan daripada keluarga menyebabkan remaja hilang nilai-nilai
budaya dan tradisi. Perubahan gaya hidup tidak lagi selari dengan nilai agama
kerana perasaan taksub akan kemodenan dan budaya baharu. 40% remaja berani
mempamerkan aksi kurang sopan bersama pasangan kerana terpengaruh dengan budaya
asing. Hasil pemerhatian menunjukkan 60% remaja lelaki gemar mengusik anak
gadis yang mengunjungi pusat beli belah tersebut. 40% remaja lelaki dan 20%
remaja perempuan suka berbuat bising semasa melepak bersama kumpulan.
Mereka akan bergelak ketawa, berbual
dengan suara yang kuat dan ada kalanya bermain gitar sambil menyanyi. Perbuatan
ini sedikit sebanyak menganggu keselesaan pengunjung selain menunjukkan sikap
kurang sopan mereka. Remaja yang lemah pendirian akan hilang jati diri dan
terpengaruh dengan cara hidup baharu yang menyimpang dari budaya dan agama.
4.3 PERKAITAN
BUDAYA LEPAK DALAM PROSES SOSIOLISASI
Amalan
budaya lepak mempunyai perkaitan dalam proses sosiolisasi. Apabila remaja
bermasalah berkumpul, sudah tentulah pelbagai masalah sosial yang akan wujud.
Masalah utama yang wujud ialah masalah ponteng dalam kalangan pelajar. Hasil
tinjauan di sebuah sekolah menengah di Daerah Bukit Mertajam, laporan daripada
Unit Hal Ehwal Murid 2011 menunjukkan purata kehadiran murid Tingkatan 4 ialah
88% dan 83% untuk pelajar Tingkatan Lima. Daripada jumlah pelajar tidak hadir,
hanya 45% pelajar yang tidak hadir bersebab dan selebihnya dikenal pasti
sebagai ponteng. Ini menunjukkan bahawa gejala lepak mendorong pelajar bertindak
berani ponteng. Amalan ponteng menyebabkan pelajar gagal menguasai kemahiran
yang diajar oleh guru setiap dan sekaligus membawa kepada keciciran dalam
pelajaran. Akibatnya, pelajar tidak dapat menjawab peperiksaan dengan baik dan
gagal menjadi pelajar yang cemerlang.
Perbuatan
melepak bersama pasangan secara bebas akan menggalakkan penzinaan dan maksiat.
Tanpa disedari oleh remaja perempuan, melepak mendedahkan mereka kepada bahaya kemungkinan
dirogol atau terjerumus dalam aktiviti seks bebas. Kesan yang paling
membimbangkan ialah kemungkinan berlaku kehamilan
luar nikah. Rentetan daripada itu, maka berjadilah kes-kes pembuangan bayi yang
kian menjadi-jadi kini. Merujuk dalam www.kpwkm.gov.my iaitu laporan daripada Jabatan Kebajikan
Masyarakat menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kes rogol di seluruh negara di antara tahun 2003 (29
kes) dan 2008 ( 35 kes). Peningkatan ini setara dengan kes pembuangan bayi yang
dilaporkan pada tahun yang sama iaitu 17 kes (tahun 2003) dan 22 kes (tahun
2008). Tidak dapat disangkal, perbuatan
melepak mendedahkan remaja kepada pelbagai masalah sosial yang lain seperti tabiat
merokok, penagihan dadah, mencuri barangan di pasar raya, vandalisme dan
sebagainya. Semua tingkah laku negatif ini amat berkait rapat dengan gejala
lepak dan meninggalkan kesan yang hebat dalam proses sosiolisasi.
4.4 KESAN
BUDAYA LEPAK KEPADA STRUKTUR SOSIAL MASYARAKAT
Budaya
lepak memberikan kesan mendalam pada struktur sosial masyarakat. Di antaranya
ialah keruntuhan akhlak dan hilang nilai-nilai moral. Keadaan bertambah buruk
apabila masalah ini melanda remaja Melayu beragama Islam. Tingkah laku yang
ditunjukkan adalah bertentangan dengan budaya dan adap sopan masyarakat Melayu
serta amat menyimpang daripada ajaran Islam. Keadaan ini membuktikan bahawa
masyarakat Melayu Islam semakin lemah kerana tidak mempraktikan ajaran Islam
dan gagal membentuk anak-anak remaja menjadi insan cemerlang. Sikap remaja yang
bertindak di luar kawalan menambahkan lagi masalah dan merenggangkan hubungan kasih sayang dalam keluarga. Sikap
ini juga mewujudkan jurang sosial antara golongan remaja dengan ahli masyarakat
yang sentiasa memandangan serong terhadap mereka. Remaja bermasalah akan
dipinggirkan oleh masyakarat kerana dianggap tidak berguna. Jika tidak
dibendung, budaya lepak hanya akan mewujudkan generasi lemah dan tidak
produktif. Remaja bermasalah ini lebih mementingkan hiburan dan mudah terjebak
dalam gejala sosial. Mereka mengabaikan peranan sebagai generasi muda yang
bakal memimpin negara. Remaja lemah bermakna masa depan negara akan turut
terjejas kerana negara memerlukan barisan pemimpin yang berilmu, berwibawa,
bertanggungjawab, berdisiplin dan berakhlak mulia.
4.5 BENTUK KAWALAN SOSIAL BAGI MENANGANI
GEJALA LEPAK
Bagi
mengatasi masalah gejala sosial yang semakin meruncing kini, peranan beberapa
pihak perlu diberi perhatian. Anataranya ialah peranan ibu bapa dan masyarakat.
Ibu bapa dengan kerjasama ahli masyarakat perlulah mengawal dan mengawasi anak-anak.
Selain diberikan didikan agama yang secukupnya, anak-anak perlu didik dengan
disiplin yang tegas. Ibu bapa perlu menjadi
role model pada anak-anak. Sudah
tiba masanya, masyarakat mengubah pemikiran dan menjadikan sikap ‘menjaga tepi
kain orang’ sebagai satu kemestian dalam usaha membantu mengatasi masalah
sosiaol seperti gejala lepak ini. Ini bermakna setiap ahli masyarakat perlu
mengenali jiran sekelilingnya dan bersedia campur tangan untuk memberi nasihat
yang baik kepada anak-anak muda yang terlibat dalam gejala sosial. Masyarakat
juga perlu mengubah persepsi mereka tentang remaja bermasalah dan jangan mudah pandang
serong .
Pihak
kerajaan juga perlulah mengambil peranan yang lebih berkesan.Jabatan Penerangan
Malaysia haruslah mengiatkan lagi kempen-kempen kesedaran dan anti lepak. Iklan-iklan
dan maklumat tentang kesan amalan
melepak sewajarnya diterbitkan dengan
lebih efektif. Menerusi sistem pendidikan, pelajar-pelajar boleh diberi
pendedahan tentang bahaya sikap suka melepak. Kurikulum yang lebih bersepadu dan
sukatan pelajaran yang lebih menyeluruh perlu digubal dalam usaha mendidik
anak-anak tentang bahaya melepak. Selain itu, undang-undang yang lebih ketat
perlu dikenakan dengan meluaskan lagi bidang kuasa pihak berkuasa tempatan untuk
menahan remaja salah laku. Pihak kerajaan dengan kerjasama badan-badan bukan
kerajaan boleh menyediakan kemudahan yang sesuai untuk remaja seperti padang
bola atau gelanggang futsal untuk mengalakkan remaja beriadah secara
berkumpulan. Dengna cara ini diharapkan remaja mempunyai ruang untuk melepaskan
tekanan di samping mendapatkan hiburan melalui riadah.
Peranan
media telivisyenjuga amat penting dalam
menangani gejala lepak ini. Di antara inisiatif yang boleh diambil ialah menyiarkan
program yang berunsurkan keagamaan, nasihat dan kesedaran tentang bahaya gejala
sosial ini kepada masyarakat. Pihak media juga boleh menerbitkan bahan bacaan
dan filem yang memberi pengajaran.
Selain itu, mereka bolehlah menganjurkan program untuk ibu bapa demi
meningkatkan ilmu keibubapaan.
5.0 PENUTUP
Slogan ‘Belia Tonggak Negara’, ‘Belia Harapan Bangsa’, ‘Belia Hari
Ini Pemimpin Hari Esok’ semakin sukar
kita realisasikan jika golongan
remaja hari ini semakin lemah. Remaja hari hari ini adalah golongan penting
dalam masyarakat kerana mereka menjadi tulang belakang kepada sesebuah negara.
Remaja yang bakal menjadi belia negara haruslah penyayang, berakhlak mulia,
cekal, berani mencuba dan bijak menangani masalah. Ini adalah sifat yang perlu dikumpul dan digarap untuk
menjana negara. Sorotan yang di petik dalam http://www.belia.org.my
:Seorang tokoh ilmuwan, Malik Bennabi dalam pandangannya mengenai golongan muda
menyatakan bahawa sekiranya generasi muda itu unggul daripada seluruh aspek,
maka kita akan saksikan sebuah negara yang unggul dapat dibina, tetapi
sekiranya generasi muda itu lemah dan lesu, maka kita akan saksikan keruntuhan
sebuah negara.
Sehubungan dengan itu, kajian yang dibuat berdasarkan pemerhatian dan tinjauan dalam tempoh masa
terhad ini diharapkan dapat memberikan gambaran awal tentang gejala sosial yang
melanda masyarakat kini. Permasalahan ini bukan sahaja memberikan kesan kepada
struktur masyarakat, bahkan mampu meninggalkan impak yang negatif kepada negara.
Perlulah disedari, bahawa remaja masa kini adalah generasi bakal pemimpin
negara di masa hadapan. Oleh itu, adalah
menjadi tanggungjawab kita selaku pemimpin di masa kini untuk mengawal dan
mencegah penyakit sosial seperti ini agar tidak menjadi lebih parah. Ibu bapa,
ahli masyarakat, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan hendaklah memainkan
peranan yang sewajarnya. Kita perlulah
bersatu hati dan mengembleng tenaga dalam menjalankan sebarang usaha
atau menjayakan kempen dalam mencegah gejala lepak daripada terus berleluasa.