Ahad, 9 September 2012

FUNGSI PENANDA WACANA


PENGENALAN
             
Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, suatu wacana yang mantap haruslah mempunyai kohesi dan koheren selain daripada mengandungi maklumat baru dan lama serta boleh difahami oleh pendengar atau pembaca. Kohesi atau tautan bermaksud keserasian hubungan antara unsur-unsur  linguistik. Pertautan yang ada dalam sesuatu wacana akan mewujudkan perkaitan  antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat  dengan perkataan sehingga membentuk kesatuan.  Koheren pula boleh dijelaskan sebagai runtutan atau kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna dan berkembang isi penceritaannya. Demi mewujudkan pertautan dan kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam wacana, penanda wacana digunakan.
                                                                                                                                         

Harimurti Kridalaksana (1982), penanda wacana didefinisikan sebagai rangkaikata yang berfungsi menghubungkan sesuatu  idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis atau berucap. Penanda wacana adalah frasa yang dijadikan sebagai perangkai ayat untuk nenentukan perkaitan atau kesinambungan antara satu idea dengan idea yang lain dalam sesuatu ayat atau perenggan. Penanda wacana  digunakan untuk memantapkan wacana dan  mewujudkan pertalian isi atau maklumat pada perenggan pertama dengan perenggan seterusnya. Penggunaan penanda wacana yang kurang tepat akan menyebabkan seluruh wacana tidak mempunyai kesatuan dan pautan cerita yang tidak lengkap. Akibatnya, pembaca atau pendengar akan gagal memahami maklumat dan penerangan yang hendak disampaikan oleh penulis atau penutur. Ketepatan aspek penanda wacana akan mempengaruhi pengolahan dan strukur ayat dalam perenggan. Penanda wacana yang tepat  perlu untuk menghurai maklumat utama agar wujud kesinambungan dengan isi huraian atau maklumat sampingan. Dalam erti kata lain,  penanda wacana amat penting untuk menyempurnakan tautan isi-isi atau maklumat dalam sesebuah esei atau pengucapan.

 

2.0       FUNGSI PENANDA WACANA DALAM WACANA BAHASA MELAYU

           

Merujuk pada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Nik Safiah Karim telah menetapkan sekurang-kurangnya terdapat lima  jenis penanda wacana yang digunakan dalam Bahasa Melayu iaitu : penanda penghubung, penanda rujukan, penanda penggantian, penanda leksikal dan penanda elipsis atau pengguguran. Penanda wacana menjalankan beberapa fungsi yang berbeza seperti membawa maksud :  a) urutan,  b) penyataan semula,  c) rumusan,  d) tempat,                 e) perbandingan  dan  f) pengesahan.   Namun, dalam membincangkan fungsi penanda wacana, hanya empat fungsi yang paling utama akan dibincangkan dengan lebih terperinci iaitu :             i) menunjukkan maksud tambahan, ii)  menjelaskan maksud bertentangan,  iii)  menerangkan sebab dan akibat serta   iv)  menunjukkan tempoh waktu.

 

2.1       MENUNJUKKAN MAKSUD TAMBAHAN.

 

Razali Yahya dalam Sistem Bahasa UPSR mengkategorikan penanda wacana jenis ini merujuk kepada perkara tambahan atau perihal selanjutnya kepada perkara yang telah dinyatakan sebelumnya. Penanda wacana ini  juga fungsi untuk memberi penerangan meluas tentang sesuatu

topik yang telah dibincangkan. ontohnya, lebih-lebih lagi, malahan, lagi pun, justeru, di samping itu, sejajar dengan itu, tambahan pula, sehubungan dengan itu, selain itu, dan selanjutnya. Berikut adalah lain-lain contoh berserta ayatnya :

 

a)      Kami berjaya menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh para hakim. Ini bererti, kamilah pemenang pertandingan kuiz itu.

 

b)      Kami amat tertarik  dan kagum melihat seni bina      bangunan bersejarah itu. Pendek kata, lawatan ini amat bermakna buat kami.

 

2.2       MENUNJUKKAN MAKSUD SEBALIKNYA ATAU BERTENTANGAN

 

Raminah Hj Sabran (1985) menjelaskan penanda wacana juga berfungsi untuk menerangkan situasi berlawanan atau pertentangan pada maklumat yang baharu diperkatakan sebelumnya. Selain itu, penanda wacana ini juga  menjelaskan maksud sebaliknya daripada keterangan dalam ayat terdahulu. Contohnya, sungguhpun, walau bagaimanapun, walaupun demikian, kendatipun, biarpun begitu, padahal dan sebaliknya. Berikut disertakan contoh ayat bagi menjelaskan lagi fungsinya.

 

a)      Dia sering diejek kawan-kawannya lantaran pakaian seragamnya yang kusam dan buruk. Biarpun demikian, dia hanya tersenyum dan bersabar.

 

b)      Sudah tiga hari Aiman tidak hadir ke sekolah. Katanya dia demam. Padahal, setiap petang  dia berada di padang bermain bola dengan kami.

 
            2.3       MENUNJUKKAN SEBAB  DAN AKIBAT

Raihana Hamdan (2007) menjelaskan bahawa fungsi lain penanda wacana adalah bagi mengemukakan maksud sesuatu yang menerangkan akibat atau kesimpulan daripada perkara yang telah pun berlaku sebelumnya. Penanda wacana ini juga menerangkan sebab musabab berlakunya sesuatu. Contohnya, oleh sebab itu, oleh hal demikian,  dengan itu, maka, lantaran itu, akibatnya, jadi,  dan kesudahannya. Berikut adalah fungsinya dalam ayat:

 

a)      Kecemerlangannya dalam bidang akademik dan kokurikulum betul-betul membanggakan pihak sekolah. Oleh sebab itu, dia telah dicalonkan untuk Anugerah Pelajar Cemerlang pada tahun ini.

 

b)      Pak Halim dan Mak Nab bersungguh-sungguh mempelawa kami bermalam di rumah mereka dan berjanji hendak membawa kami ke dusun durian pada esok harinya. Jadi, kami bersetuju sahaja kerana kami pun teringin hendak makan durian.

 

2.4       MENUNJUKKAN MAKSUD TEMPOH WAKTU DAN KETIKA.

 

Nik Safiah Karim (2009), penanda wacana juga berfungsi untuk menjelaskan urutan masa atau berlakunya sesuatu secara bersiri. Selain itu, penanda wacana ini digunakan untuk mengemukakan maksud perkara yang berlaku pada masa itu, selepas atau sebelumnya. Contohnya, berbalik kepada hal tadi, akhirnya, sementara itu, sejenak kemudian, seterusnya, selepas itu, kemudian, dan dalam pada itu. Berikut adalah contoh ayat bagi menerangkan fungsi penanda wacana ini:

a)      Semua tetamu diarahkan masuk ke dalam dewan kerana majlis akan bermula bila-bila masa. Sejenak kemudian, pengumuman ketibaan tetamu kehormat dibuat oleh pengacara majlis. Kemudian, kami pun cepat-cepat mengambil tempat.

 

b)      Sebaik sahaja kami tiba di pusat membeli-belah terkemuka itu, Datin Mazni bersedia menunggu kami. Selepas itu, kami di bawa ke butik Idaman. Dalam pada itu, saya sempat meninjau sebuah kedai yang menjual kasut wanita.

 

3.0        PENGGUNAAN PENANDA WACANA DALAM PERENGGAN.

 

Seperti yang telah dibincangkan, penanda wacana mempunyai fungsi yang pelbagai dan digunakan untuk memperlihatkan kesinambungan idea. Penggunaan penanda wacana dapat dilihat pada contoh petikan yang disertakan dibawah :

 

a)      Petikan dari contoh Karangan Terpilih Bahasa Malaysia, Oxford Fajar(2010).
 

Industri pelancongan yang kian pesat dapat memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan mempelajari budaya dan cara hidup pelancong.  Di samping itu, para pelancong pula dapat mempelajari gaya hidup dan budaya orang Timur. Selain itu, pelancong juga dapat memberikan inspirasi kepada orang tempatan untuk bekerja lebih keras demi mencapai kemajuan setanding dengan pelancong yang datang. Hal ini ekoran timbul keyakinan orang tempatan untuk merasai pengalaman  menjadi pelancong di luar negara. Tambahan pula, untuk menjadi pelancong, mereka perlulah mempertingkatkan diri dengan ilmu pengetahuan dan mempunyai simpanan  perbelanjaan yang mencukupi. Hal ini pasti meramaikan golongan cerdik pandai dan mewah di Malaysia.

 

Berdasarkan petikan yang diambil dari contoh karangan terpilih ini, penggunaan penanda wacana adalah baik namun masih terdapat sedikit kekaburan yang boleh dibaiki. Rangkai kata ‘Di samping itu’ dan ‘Selain itu’ sesuai digunakan dalam keterangan teks ini kerana ia menerangkan maklumat tambahan daripada ayat sebelumnya. Penggunaan rangkai kata ‘ Hal ini ekoran’ sesuai juga digantikan dengan ‘Hal ini demikian kerana’ dan membawa menerangkan sebab dan akibat daripada huraian ayat sebelumnya. Penanda wacana seperti ‘Tambahan pula’ lebih sesuai jika digunakan rangkai kata  ‘Begitulah halnya’ kerana ayat ini menerangkan maksud ayat yang sama tara dengan perkara yang dinyatakan sebelumnya. Penanda wacana terakhir yang digunakan dalam teks ini iaitu ‘ Hal ini’ sesuai digunakan dengan fungsinya sebagai kesimpulan daripada maksud ayat-ayat sebelumnya. Setelah dibuat sedikit penambahbaikan pada penggunaan penanda wacana, fungsinya semakin jelas dan mudah difahami. Ayat yang sepatutnya ialah seperti :                                                                                   

                                                           

……. Hal ini demikian kerana timbul keyakinan orang tempatan untuk merasai pengalaman  menjadi pelancong di luar negara. Begitulah halnya, untuk menjadi pelancong, mereka perlulah mempertingkatkan diri dengan ilmu pengetahuan dan mempunyai simpanan  perbelanjaan yang mencukupi.”………..

 

b)      Petikan cerita cereka kanak-kanak .


Tina anak tunggal dalam keluarganya. Ayahnya telah meninggal dunia dua tahun yang lalu. Sejak itu, ibu Tina terpaksa membuat kuih-muih untuk dijual di pasar bagi menampung perbelanjaan keluarga. Tambahan pula, wang pencen arwah ayahnya tidak mencukupi menampung kehidupan mereka. Ibu Tina wanita yang kuat bekerja. Jika waktu siang dia sibuk memasak kuih muih dan berjualan, waktu malam pula dia akan menyiapkan tempahan baju jiran-jirannya. Akibatnya, ibu Tina sering sakit-sakit. Oleh itu, Tina terpaksa ponteng sekolah demi menggantikan  ibunya menjual kuih-muih di pasar. Namun begitu, tugas baharunya tidak menghalangnya  menjadi pelajar yang berjaya. Sebaliknya, jiwa Tina semakin kental dan bersemangat. Dia berazam untuk belajar lebih tekun demi membela nasib keluarganya.

 
Merujuk kepada petikan cerita cereka kanak-kanak yang dipetik daripada buku ‘Mahalnya Harga Kejayaan” karya Nik Suhana, teks ini mempunyai wacana yang baik dan mantap. Penggunaan penanda wacana yang pelbagai dalam teks ini sesuai dengan fungsi dan maksudnya. Pembaca dapat memahami wacana ini kerana berjaya menepati aspek koheren dan kohesi. Kesinambungan idea dijelaskan mengikut urutan perkembangan cerita. Rangkai kata ‘Sejak itu’ bermaksud tempoh waktu berlakunya sesuatu yang diterangkan dalam ayat. ‘Tambahan pula’ menambahkan lagi keterangan cerita yang disampaikan. ‘Akibatnya’ sesuai digunakan sebagai penanda wacana pada ayat ini kerana penulis menjelaskan rentetan atau kesan daripada cerita sebelumnya. ‘Oleh itu’ pula digunakan dengan tepat untuk menjelaskan maksud tambahan daripada kesan atau sebab yang diterangkan pada ayat sebelumnya. rangkai kata ‘Namun begitu’ sesuai digunakan dalam wacana ini kerana menerangkan perkara yang bertentangan dari maksud cerita sebelumnya. perkembangan isis cerita dijelskan lagi dengan                                                                            

penggunaan penanda wacana ‘ Sebaliknya’ yang juga merujuk situasi yang berlawanan daripada situasi yang diterangkan di awal penceritaan. Penggunaa penanda wacana yang tepat menjadikan wacana ini mempunyai  rentetan dan bertautan cerita yang mudah difahami oleh pembaca khasnya pembaca kanak-kanak.

 
c)      Petikan contoh karangan tidak berformat.

 
Dengan menyertai Rakan Muda Rekreasi, kita dapat mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti lasak yang berfaedah seperti merentas hutan, perkhemahan, mendaki gunung dan berakit. Hasilnya, Kita dapat menambah pengetahuan serta pengalaman. Dengan ini,, dapatlah kita menjadi individu yang lasak, kreatif  dan berani  menghadapi cabaran hari muka. Selain itu, kita dapat mendisiplinkan diri mematuhi arahan jurulatih atau peraturan yang dikenakan. Sehubungan dengan itu, Rakan Muda Rekreasi  adalah sebahagian daripada usaha negara untuk mencapai Wawasan 2020. Oleh sebab itu, penyertaan pelajar dan belia dalam Rakan Muda Rekreasi amat-amat dialukan. Hal ini demikian kerana negara memerlukan golongan muda yang cekal, berdisiplin, berilmu dan mempunyai ketahanan diri yang kukuh untuk menerajui negara pada masa akan datang.

Berpandukan petikan rencana di atas, terdapat penggunaan penanada wacana yang kurang tepat dalam wacana ini. Penanda wacana yang pertama digunakan pada baris ayat ketiga didapati kurang tepat. ‘Hasilnya’ merujuk kepada maksud kesan atau akibat daripada maksud ayat sebelumnya. Rangkai kata yang patut digantikan ialah ‘Di samping itu’ kerana dapat menunjukkan ada perkaitan yang setara dengan maksud ayat sebelumnya. rangkai kata ‘Dengan ini’ dan ‘Selain itu’ sesuai digunakan pada ayat kerana dapat menerangkan huraian tambahan daripada penyataan sebelumnya. Penanda wacana berikutnya iaitu ‘Sehubungan dengan itu’ kurang sesuai digunakan sebaliknya digantikan dengan rangkai kata ‘Lebih-lebih lagi’. Rangkai kata ini menunjukkan maksud penekanan dan kesetaraan kepada isu yang dinyatakan sebelumnya. rangkai kata ‘Oleh sebab itu’ dan ‘Hal ini demikian’ sesuai digunakan kerana ia menunjukkan maksud kesan atau akibat daripada tindakan yang diterangkan dalam ayat sebelumnya. Penggunaan penanda wacana yang sesuai di akhir petikan ini menjadikan pembaca  lebih memahami isu yang dibincangkan. Setelah dibuat beberapa pindaan pada penggunaan penanda wacana, petikan yang yang seharusnya adalah seperti berikut :

 

 “ Dengan menyertai Rakan Muda Rekreasi, kita dapat mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti lasak yang berfaedah seperti merentas hutan, perkhemahan, mendaki gunung dan berakit. Di samping itu, Kita dapat menambah pengetahuan serta pengalaman. Dengan ini,, dapatlah kita menjadi individu yang lasak, kreatif  dan berani  menghadapi cabaran hari muka. Selain itu, kita dapat mendisiplinkan diri mematuhi arahan jurulatih atau peraturan yang dikenakan. Lebih-lebih lagi, Rakan Muda Rekreasi  adalah sebahagian daripada usaha negara untuk mencapai Wawasan 2020. Oleh sebab itu, penyertaan pelajar dan belia dalam Rakan Muda Rekreasi amat-amat dialukan. Hal ini demikian kerana negara memerlukan golongan muda yang cekal, berdisiplin, berilmu dan mempunyai ketahanan diri yang kukuh untuk menerajui negara pada masa akan datang.”

 
4.0       CARA MENINGKATKAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN  PENANDA WACANA DALAM  KALANGAN PELAJAR.


Murid banyak melakukan beberapa kesilapan semasa menghasilkan penulisan yang baik. Kesilapan yang dibuat mungkin melibatkan kesalahan penggunaan kata, tanda baca, ejaan dan binaan ayat yang kurang tepat. Kadangkala, berlaku kesalahan penggunaan penanda wacana yang berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang cara menulis, kurang pasti tentang fungsinya serta tidak mematuhi aspek-aspek tatabahasa. Misalnya, murid sering lupa dan lalai meletakkan tanda baca ( , ) selepasa penanda wacana yang berfungsi sebagai frasa. Kesilapan kecil begini akan menyebabkan murid gagal mendapat markah yang baik dalam penulisan walaupun mampu menghasilkan wacana yang baik. Sehubungan dengan itu, beberapa cadangan untuk meningkatkan kemahiran penggunaan penanada wacana dalam kalangan murid disenaraikan seperti berikut:

a)      Murid haruslah banyak membaca pelbagai jenis teks penulisan sebagai meluaskan pengetahuan dan menguasai banyak perbendaharaan kata termasuklah penanda wacana. Dengan banyak membaca, murid akan dapat mengenali pelbagai jenis penanda wacana dan memahami fungsinya dalam ayat-ayat  dan perenggan yang di gunakan.  Murid juga digalakkan merujuk kamus dan tesaurus untuk mencari maksud frasa atau kosa kata yang tidak difahami. 

b)      Murid harus digalakkan membuat latihan kendiri menyalin perenggan ayat yang mengandungi penanda wacana dengan memberi fokus kepada ejaan dan penggunaan tanda baca yang betul. Murid akan lebih memahami cara menulis dan menggunakan penanda wacana yang betul ketika menyalin ayat-ayat yang dilihat. Selain itu, latihan mengambil imlak sesuai dilakukan oleh guru semasa pengajaran dan pembelajran di dalam kelas. Dengan cara ini murid di latih menjadi lebih mahir menulis semula wacana yang disebut atau diperdengarkan kepada mereka dengan ejaan dan tanda baca yang betul.

c)      Dalam meningkatkan kemahiran menggunakan penanda wacana, murid perlu membanyakkan latihan membina dan melengkapkan perenggan ayat. Murid juga boleh memilih penanda wacana yang paling sesuai daripada senarai yang  telah disediakan oleh guru. Latihan begini dapat melatih murid memahami fungsi penanda wacana dalam perenggan ayat. Setelah itu, latihan tubi harus diteruskan agar pemahaman murid tentang penggunaan penanda wacana menjadi mantap.

d)     Untuk memantapkan lagi kemahiran murid membina perenggan, murid dilatih menyusun ayat-ayat yang telah disediakan supaya menjadi perenggan cerita mengikut urutan  idea yang betul. Dengan cara ini, murid dapat dilatih untuk menghasilkan wacana yang menepati aspek kohesi dan koheren. Selain itu, murid akan menyusun dan menulis semula ayat yang lengkap dengan penanda wacana yang sesuai untuk menghasilkan kesinambungan cerita.

e)      Demi meningkatkan kemahiran murid mengguna penanda wacana yang sesuai, murid dilatih membina ayat sendiri untuk menghasilkan pertautan dan kesinambungan idea dengan menyudahkan cerita yang diberi. Murid  yang kurang mahir boleh dilatih melengkapkan perenggan berpandukan penanda wacana dan perkataan yang yang sesuai. Manakala murid yang sudah mahir, digalakkan menghasilkan idea sendiri.                                          .                                  

f)       Setelah mahir membina ayat, murid boleh menulis wacana yang lengkap berpandukan topik yang telah dibincangkan. Sebelum itu, murid juga digalakkan menulis wacana berpandukan kerangka karangan yang disediakan. Tujuannya adalah supaya hasil wacana tidak menyimpang daripada topik yang sepatutnya. Murid juga harus mematuhi prinsip penulisan wacana, iaitu setiap wacana haruslah mempunyai pengenalan , isi utama, ayat-ayat huraian dan kesimpulan. Wacana yang baik ialah wacana ayng mempunyai pertautan idea yang disampaikan secara berurutuan. Selain iut, murid juga wajarlah mengunakan penanda wacana ayng sesuai untuk mempemerkan kesinambungan idea yang lebih berkesan.


g)      Langkah terkahir yang harus dipatuhi oleh murid agar berjaya menguasai kemahiran menghasilkan wacana yang baik  ialah mereka haruslah membuat pemantauan kendiri ke atas hasil penulisan mereka. Setelah selesai mengarang, murid seharusnya membaca semula untuk mengenal pasti kemungkinan kesalahan yang mungkin berlaku semasa menulis seperti kesilapan ejaan, tanda baca dan penggunaan tanda wacana yang kurang sesuai. pemantau kendiri akan melatih murid lebih peka dan berhati-hati dalam menghasilkan wacana yang baik.
                                                              

5.0       RUMUSAN. 

            Keindahan sesuatu bahasa dapat dinilai daripada kesempurnaan kata dan ungkapan yang dibicarakan oleh penuturnya. Bahasa Melayu adalah bahasa yang indah dan mudah dipelajari kerana bahasa ini terbina daripada pembentukan kata, frasa, klausa, ayat dan wacana yang sempurna. Penggunaan kata yang tepat akan membentuk ayat-ayat yang bermakna. Seterusnya, akan menghasilkan wacana yang tinggi nilai tatabahasanya. Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana  disampaikan secara lisan atau  bertulis. Ia terdiri daripada sejumlah ayat, susunan ayat, ceraian bab, buku, dailog dan sebagainya yang memperlihatkan perkembangan fikiran yang berturutan. Wacana yang utuh hasuslah menepati ciri-ciri ketekstualan wacana iaitu mempunyai tautan (kohesi) , memperlihatkan kesinambungan idea (koheren), mempunyai tujuan, pendengar atau penerima, mempunyai maklumt baharu dan maklumt lama serta releven dengan situasi dan ketika diujarkan. Bagi menjelaskan pertautan, pertalian dan kesinambungan idea atau hujah, penanda wacana digunakan pada ayat.
Penanda wacana mempunyai pelbagai fungsi seperti : menghubungkan idea dengan idea, menambah atau meluaskan  idea, menunjukkan maksud idea yang pertentangan, menunjukkan kesan dan akibat, membuat kesimpulan, menerangkan maksud tempoh dan ketika  dan juga menunjukkan penegasan idea yang hendak disampai dalam sesebuah penulisan. Penggunaan penanda wacana yang betul dan sesuai dalam sesuatu wacana akan menjadikan teks itu dapat difahami, menarik dan bermakna. Wacana yang mantap haruslah mengandungi idea utama, huraian idea, maklumat tambahan dan juga kesimpulan idea. Semua ini dihubungkait secara berurutan  dengan menggunakan penanda wacana yang sesuai. Proses menghasilkan wacana yang baik harus dipelajari secara berperingkat supaya penutur atau penulis dapat menhasilkan wacana yang baik. Dalam hal ini, murid-murid haruslah diberi panduan yang lengkap cara-cara menguasai kemahiran menggunakan penanda wacana yang betul dan sesuai semasa mereka menghasilkan sesuatu wacana dalam bahasa Melayu. Latihan tatabahasa dan aktiviti membaca dapat membantu murid-murid memahami dan menguasai kemahiran bahasa dengan baik. Selain itu, guru-guru juga haruslah berperanan menyediakan bahan pembelajaran yang sesuai di samping mengamalkan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesaui dengan kebolehan murid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan