Ahad, 9 September 2012

GEJALA LEPAK


TAJUK : GEJALA LEPAK DALAM KALANGAN REMAJA

DI SEKITAR BANDAR BUKIT MERTAJAM: SATU TINJAUAN AWAL.

 

1.0              PENGENALAN

Gejala melepak bukanlah satu fenomena baru dalam masyarakat Malaysia. Malahan gejala  ini turut menjadi penyakit sosial dalam masyarakat dunia amnya. Menurut Kamus Dewan Edisi 4 : Melepak ditafsirkan sebagai berbuat sesuatu yang tidak mendatangkan faedah seperti duduk-duduk di sesuatu tempat tanpa tujuan dan maksud tertentu. Tabiat begini bukan sahaja membuang masa tetapi memupuk sikap malas dan culas selain melahirkan generasi tidak produktif. Tabiat melepak dilihat sebagai satu penyakit sosial yang perlu dibendung kerana ia cenderung menwujudkan masalah sosial yang lain seperti merokok, penagihan dadah, gengsterisme, vandalisme dan keruntuhan akhlak. Tambahan pula, gejala sosial ini melibatkan golongan remaja lelaki dan perempuan  yang menjadi generasi bakal pemimpin negara di masa hadapan.  Menurut tafsiran Kamus Oxford: remaja ialah tahap umur individu yang mulai dewasa, akil baligh atau sudah cukup umur untuk  berkahwin. Remaja adalah tahap umur matang yang sudah seharusnya sudah mampu berfikir dan membuat keputusan dengan baik. Hall (1904) (dalam Azizi Yahaya, 2008 ) menjelaskan, remaja sebagai kumpulan individu yang sedang berada dalam zaman yang penuh emosi dan tekanan dalam memikirkan tujuan dan arah kehidupan mereka. Oleh itu, remaja memerlukan sokongan dan bimbingan ibu-bapa atau orang yang lebih dewasa dalam membuat keputusan dan tindakan mengikut norma-norma masyarakatnya. Apabila menghadapi konflik dalam kehidupan sosialnya, remaja akan mencari alternatif untuk  keluar  daripada masalah. Melepak adalah salah satu aktviti yang giat dilakukan oleh remaja bermasalah. Lokasi yang menjadi kegemaran remaja melepak ialah di khalayak ramai iaitu tempat-tempat awam. Hakikatnya, golongan remaja melepak ini cuba  menarik perhatian umum  bagi mempamerkan jiwa mereka yang memberontak. Berpandukan Hierarki Maslow dalam teori Maslow (1968), individu perlu memenuhi keperluan fisiologi dan psikologi secara berperingkat dari yang terendah kepada yang tertinggi. Jika individu gagal memenuhi keperluan dalamannya maka akan berlakulah gangguan fisiologi dan psikologi. Kesukaran mencapai kesempurnaan diri dan gagal mencapai peringkat yang lebih tinggi dalam hierarki akan

menyebabkan remaja cenderung bertindak bertentangan norma sebenar. Tabiat melepak menjadi budaya bagi golongan remaja yang cuba mempertahankan ego dan nilai dirinya. Permasalahan ini perlu dikaji dan diberi perhatian agar gejala melepak tidak berterusan menjadi budaya dalam masyarakat.

 

1.1       OBJEKTIF KAJIAN

a)      Mengenal pasti  faktor-faktor yang  menggalakkan aktiviti melepak dalam kalangan remaja.

b)      Mengenal pasti kesan budaya lepak dalam kalangan remaja terhadap proses sosiolisasi.

c)      Mengenal pasti kesan budaya lepak dalam kalangan remaja terhadap struktur sosial masyarakat.

 

1.2       KEPENTINGAN KAJIAN

a)                                                      Memberi panduan kepada pihak pentadbiran sekolah dan intitusi pengajian dalam

merangka dan  menguatkuasakan peraturan  yang sesuai dan relevan dengan persekitaran.

b)                                                      Memberi kesedaran  kepada pihak  ibu-bapa  dan ahli  keluarga  amnya  supaya tidak

memandang remeh terhadap budaya lepak yang menjadi ikutan remaja dan juga ahli keluarga sendiri.

c)                                                      Memberi kesedaran kepada ahli masyarakat agar sentiasa peka dan bersedia memberi

kerjasama dalam membanteras gejala sosial seperti budaya lepak ini .

d)                                                     Membantu pihak berkuasa tempatan dalam mengenal pasti tempat-tempat tumpuan

remaja dan bertindak untuk mengatasi masalah budaya lepak dalam kalangan remaja.

 

2.0              SOROTAN LITERATUR

Budaya melepak merupakan penyakit sosial yang melanda remaja lelaki dan perempuan dalam lingkuangan umur  diantara 14 hingga 21 tahun. Amalan melepak ini sudah dianggap satu budaya dalam kalangan remaja khasnya di sekitar kawasan pinggir bandar dan kawasan bandar. Budaya ini berkembang dengan cepat seiring dengan kepesatan kemajuan dan perbandaran.

Dengan adanya pusat-pusat membeli-belah, pusat rekreasi dan pusat-pusat hiburan, maka kegiatan melepak semakin menjadi-jadi. Merujuk kepada petikan akhbar tempatan (Berita Harian,15 Februari 1994),Datuk Dr. Abdul Hamid Othman menjelaskan bahawa budaya melepak berkembang dalam suasana masyarakat yang tidak mengamalkan sikap tegur-menegur sebaliknya beranggapan tidak perlu mencampuri hal-hal urusan orang lain. Gejala melepak ini mula melanda masyarakat yang mendiami perkampungan baharu di sekitar bandar biasanya sibuk dengan kerjaya dan mengabaikan nilai-nilai hidup masyarakat tradisional. Ann Wan Seng  (1994), kegiatan  melepak  diamalkan  oleh remaja yang merasai dirinya tersisih daripada masyarakat. Rasa rendah diri dan ego yang tercabar menyebabkan remaja mula memberontak dan memilih aktiviti berkumpulan untuk menonjolkan diri. Melepak merupakan satu cara mudah untuk membuktikan kehebatan diri. Menurut Kaplan 1975, (dalam Azizi Yahaya dan Nalini Madavan, 2007) budaya lepak adalah berkaitan dengan psikopatologi iaitu masalah personaliti, gangguan mental, gangguan emosi, selalu anxieti atau depresi. Golongan remaja yang terjebak dalam budaya lepak adalah mereka yang  mempunyai masalah keluarga, sukar membina hubungan rapat dengan ahli keluarga, kekurangan perhatian dan kasih sayang serta diabaikan.

Laporan Kajian Kementerian Belia dan Sukan turut memuatkan hasil kajian oleh Prof. Madya Dr. Samsudin A. Rahman ( dimuat turun daripada www.prostar.gov.my) yang mendapati 18% daripada 6,110 remaja yang ditemubual mempunyai rakan yang  terlibat dalam hubungan seks sebelum berkahwin. Remaja berprestasi lemah yang terlibat dalam gejala sosial ialah 26% berbanding 17% lagi adalah remaja yang berprestasi cemerlang. 40% remaja pernah menonton video lucah atau membaca bahan bacaan lucah. Hasil kajian ini juga mendapati semua masalah sosial yang berlaku adalah berpunca daripada budaya lepak yang menjadi amalan remaja bermasalah ini.  Petikan rencana dalam kolum pembaca dalam Utusan Malaysia, 11 Mac 1993,( dimuat turun daripada http://mutiaraislam.wordpress.com )  menyatakan bahawa budaya lepak merupakan satu tabiat remaja yang sukar dibendung. Ini terbukti dengan kajian yang dijalankan di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati 90% remaja Cina akan terus pulang ke rumah selepas persekolahan, 72% remaja India juga turut bertindak  yang sama, sebaliknya hanya 5.8% remaja Melayu yang berbuat demikian. Ini menjelaskan bahawa sebahagian besar remaja Melayu aktif dalam kegiatan melepak sebelum pulang ke rumah.

Azizi Yahaya dan Gan Lui Nam (2008), dalam kajian Pendekatan Teori Terhadap Gejala Lepak telah menegaskan bahasa budaya lepak yang menjadi amalan dan ikutan remaja boleh dikaitkan dengan beberapa teori tingkah laku manusia. Teori Perkembangan Psikososial yang diperkenalkan oleh Erikson (1956) menjelaskan bahawa manusia mengalami perkembangan psikososial secara berperingkat mengikut tahap. Jika manusia menghadapi konflik, tingkah laku mereka turut berubah ke tahap seterusnya. Pada tahap 5, remaja akan membentuk identiti dan persepsi kendiri terhadap dunia mereka.Teori ini menegaskan bahawa remaja yang dididik dengan kasih sayang, keyakinan dan penghargaan akan mampu membentuk identiti yang positif. Sebaliknya remaja terabai akan membentuk identiti yang negatif dan hidup dalam kekecewaan, kemarahan  dan kekeliruan. Mereka akan mencari kekuatan diri secara berkumpulan dan melakukan pelbagai masalah perilaku bermula dengan aktiviti melepak.

Idris (2000) dalam kajiannya tentang fenomena budaya lepak dalam kalangan remaja di sebuah bandaraya, telah mengenal pasti beberapa punca budaya lepak. Faktor yang paling utama ialah keruntuhan rumah tangga, kerenggangan hubungan kekeluargaan dan kurang didikan agama. Kekurangan ini melahirkan remaja-remaja yang tidak bermoral dan mudah terjebak dengan perilaku negatif dan bertentangan dengan norma-norma masyarakatnya. Ini jelas membuktikan bahawa ilmu keibubapaan dan agama amatlah penting dalam melahirkan insan cemerlang. Seorang ahli psokologi Robert J.Havighurst berpendapat  bahawa matlamat remaja ialah membentuk hubungan baru yang lebih matang dan bermakna dengan rakan-rakan sebaya dan sealiran. Mereka tidak gemar bersendirian sebaliknya bergerak aktif dalam kumpulan. Kegiatan yang menjadi pilihan remaja ialah melepak kerana selain menghiburkan mereka dapat menonjolkan jiwa nakal mereka.

Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai The effect of TV Violence on Malaysian Children pada 1983 menunjukkan rancangan televisyen seperti kartun dan drama yang memaparkan aksi ganas mempengaruhi minda kanak-kanak melakukan jenayah. Sebagai contoh, kartun Popeye dan Superman yang disiarkan mengandungi elemen ganas yang menyebabkan kanak-kanak mudah terpengaruh. Kanak-kanak tidak mempunyai ketahanan daya saring dan tidak mampu membezakan perkara baik dan buruk menyebabkan mereka menerima apa yang dilihat ditelevisyen. Kajian CAP membuktikan bahawa salah satu punca kelunturan

akhlaknya remaja hari ini berpunca daripada  program-program yang mereka tonton pada zaman kanak-kanak mereka. Remaja yang runtuh akhlaknya mudah terjerumus dalam banyak sosial, antaranya ialah gejala lepak.  Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, mendedahkan sebanyak 9.82 peratus atau 138,331 kes jenayah di negara ini dalam tempoh dua tahun lalu membabitkan golongan remaja. Menurutnya, sebanyak 300 hingga 600 kes jenayah juvana berlaku setiap tahun dan melibatkan kes salah laku  mencuri, pecah rumah dan gangsterisme. Jenayah kecil yang semakin popular dalam kalangan  remaja kini ialah perbuatan melepak. Tabiat negatif ini dilihat sebagai permulaan kepada masalah sosial lain.

 

3.0              METADOLOGI

3.1       REKA BENTUK KAJIAN

Reka bentuk kualitattif digunakan oleh pengkaji untuk memperolehi hasil kajian. Kaedah tinjauan yang dijalankan berdasarkan pemerhatian dan temubual. Kaedah ini sesuai dan mudah dijalankan kerana terdapat batasan waktu untuk membuat tinjauan. Hasil dapatan dinyatakan secara deskriptif dan disokong dengan data dan rajah untuk menghuraikan hasil pemerhatian dan temubual. Ahmad Lisot ,1988 ( dalam kajian Azizi, Jamaludin dan Yusuf ) menjelaskan bahawa kajian berbentuk deskriptif paling sesuai digunakan dalam kajian yang menerangkan sesuatu fenomena dan konflik dalam sesbuah masyarakat. Sehubungan dengan itu, intipati kajian ini adalah mengkaji fenomena budaya lepak dalam kalangan remaja di sebuah pusat memberli-belah disebuah bandar iaitu di bandar Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

3.2       POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN

Kajian yang dijalankan ini tertumpu pada populasi yang telah di pilih iaitu di kompleks membeli belah SUMMIT yang terletak di tengah bandar Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Kajian ini menggunakan startegi pemilihan persempelan ‘snowball’ untuk mendapatkan maklumat daripada responden. Pengkaji telah mengenal pasti lokasi dan remaja yang sesuai sebagai responden. Daripada dua orang responden, pengkaji dapat mengenali beberapa orang responden lain untuk mendapatkan maklumat lanjut. Seramai 10 orang remaja

pelbagai perwatakan yang berusia antara 16 hingga 19 tahun telah dikenal pasti. Daripada 10 orang itu, 5 orang adalah rermaja perempuan dan 5 orang remaja lelaki. Responden yang dipilih adalah terdiri daripada 3 kumpulan remaja yang berbeza. Kumpulan pertama terdiri daripada 3 pasangan remaja, kumpulan kedua ialah 2 orang remaja perempuan yang bergaya lincah manakala kumpulan ketiga ialah 2 orang remaja lelaki yang mempunyai perwatakan lembut.

3.3       KAEDAH DAN TEKNIK PENGUMPULAN DATA

Kajian yang dijalankan ini berasaskan kepada kaedah temubual dan kaedah pemerhatian sahaja. Melalui kaedah temubual, pengkaji menjalankan temubual secara tidak formal dengan responden setelah mendapat keizinan dan kerjasama yang baik daripada mereka. Temubual yang dibuat adalah berkisar tentang latar belakang masing-masing serta berpandukan soalan-soalan yang telah ditetapkan oleh pengkaji. Maklumat dan data yang diperolehi ditanda dalam borang temubual yangtelah disediakan untuk dianalisa sebagai dapatan kajian.

Selain itu, kaedah pemerhatian juga turut dijalankan pada sebelum, semasa dan selepas temubual diadakan. Tujuan permerhatian ini ialah untuk mengesan aspek perubahan tingkahlaku responden, cara mereka bersosial dan cara mereka bertindak balas pada situasi dan persekitaran. Di samping itu, pengkaji juga turut menyediakan soalan-soalan pemerhatian sebagai panduan semasa menjalankan proses pemerhatian. Data dan maklumat yang diperolehi akan ditanda dan dijadikan bukti sebelum membuat analisa dan rumusan di akhir kajian. Hasil dapatan kajian akan disampaikan dalam bentuk deskriptif dan disokong dengan penerangan pada carta.

4.0              DAPATAN KAJIAN

Hasil daripada pemerhatian, 10 orang responden berbangsa Melayu telah dikenal pasti sesuai dijadikan sampel kajian ini. Lokasi yang menjadi tumpuan remaja yang bermasalah lepak di kompleks SUMMIT ialah di pusat bowling, pusat permainan video, mini pawagam, internet kafe dan persiaran terbuka di aras 2 bangunan tersebut. Responden yang dikenal pasti bukanlah mengunjungi tempat-tempat tersebut sebagai pelanggan, sebaliknya hanya duduk berbual-bual di suatu sudut sambil memerhatikan pengungjung lain yang lalu lalang dan yang berurusan di situ.

4.1       LATAR BELAKANG RESPONDEN

            a)Responden 1

Seorang remaja perempuan yang juga penuntut kolej berumur 18 tahun. Responden berasal dari Kedah dan tinggal menyewa bersama rakan sepengajian. Merupakan anak bungsu daripada 6 beradik. Ibu bekerja sebagai pekerja kilang dan bapa pekerja buruh binaan. Responden juga merupakan teman serumah responden 2.

            b)Responden 2

Seorang pelajar perempuan yang berasal dari Pulau Pinang berumur 19 tahun dan merupakan anak ke 3 daripada 4 beradik. Gemar duduk menyewa dengan rakan walau pun alamat tempat tinggal tidak jauh dari tempat pengajian. Ibunya seorang jururawat dan ayah pula seorang kontraktor.

            c)Responden 3

Seroang pelajar perempuan-pelajar tingkatan 5 yang berumur 17 tahun. Merupakan anak ke 4 daripada 7 beradik dan mempunyai pertalian saudara dengan responden 2. Responden masih tinggal dengan ibu bapa. Ibunya seorang suri rumah dan ayah pula bekas pegawai tentera. Responden sering ponteng sekolah  dengan alasan sering sakit. Responden tidak gemar ke sekolah kerana tidak suka dengan guru mata pelajaran Kimia dan Sains.

            d) Responden 4

Seorang pelajar  tingkatan 4, berumur 16 tahun dan merupakan anak bungsu. Tinggal dengan kakak dan abang ipar setelah ibu bapa meninggal dunia 2 tahun lalu. Merupakan jiran kepada responden 5. Responden mengambil kesempatan  melepak dengan rakan setelah tamat waktu persekolahan tetapi tidak keluar rumah pada hari cuti persekolahan kerana takutkan abang ipar seorang pegawai polis yang garang dan tegas.

            e) Responden 5

Merupakan anak perempuan tunggal daripada 3 adik beradik dan berumur 17 tahun.

Rakan sekolah responden 4. Seorang yang suka bergaya dan gemar meninjau tempat-tempat membeli belah kerana kagum dengan fesyen pakaian terkini yang ada dijual di sana. Responden juga  mendapat duit poket bulanan yang lumayan daripada bapa yang tinggal berasingan dengan ibu. Status ibu-bapa tidak bercerai tapi duduk berasingan kerana masalah kerjaya.

            f) Responden 6

Merupakan anak lelaki ke 2 daripada 5 adik beradik dan berumur 19. Memilih menjadi seorang  penganggur tamat persekolahan tingkatan 5. Tidak beminat melanjutkan pelajaran walau pun pernah mendapat tawaran. Ibunya  seorang kerani manakala bapa seorang peniaga kedai runcit di kampung. Mempunyai sikap suka bergaya dan suka merokok apabila berkumpul bersama rakan tetapi tidak semasa di rumah kerana ayahnya tidak merokok.

            g) Responden 7

Seorang pelajar kolej berumur 19 tahun dan merupakan anak sulung daripda 3 beradik. Merupakan teman lelaki kepada responden 2 dan telah  mengenali responden 6  sejak di bangku sekolah lagi. Ibunya berstatus ibu tunggal akibat penceraian. Sanggup tinggal di asrama kolej kerana tidak mahu terkongkong di rumah. Mempunyai masalah sikap dan kuat merokok.

            h) Responden 8

Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun dan merupakan anak ke 2 daripda 2 beradik. Bekerja sambilan sebagai pembantu di gerai burger milik abang sendiri. Responden memilih  untuk berdikari di usia muda dan enggan melanjutkan pelajaran walau pun mendapat tawaran. Sudah 10 tahun dibesarkan oleh nenek kerana ibu bapa berpisah dan berkahwin lain.

            i) Responden 9

Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dan  tinggal dengan ibu-bapa yang bekerja di sebuah hospital . Merupakan  anak tunggal dan tidak suka berada seorang diri di rumah. Memilih untuk melepak dengan rakan dengan alasan belajar bersama-sama. Mempunyai perwatakan yang agak lembut terasa di pinggirkan oleh rakan-rakan sekolah. Sering dimarahi guru kerana masalah disiplin dan gemar melepak di internet kafe.

            j) Responden 10

Seorang pelajar lelaki- berusia 17 tahun dan rakan karib kepada responden 9. Turut mempunyai perwatakan yang lembut dan suka melepak bersama rakan dengan alasan pergi ke kelas tambahan disebuah pusat tuisyen di bandar. Mempunyai masalah disiplin kerana sering ponteng kelas dan suka melepak di internet kafe.

4.2       FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GEJALA LEPAK

            Hasil daripada temubual yang dibuat keatas 10 responden dan pemerhatian pada persekitaran lokasi remaja melepak, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Di antara faktor utama ialah faktor keluarga, pengaruh rakan sebaya, pengaruh modenisasi dan pengaruh media serta internet.

            a) Peranan Ibu-bapa Dan Pengaruh Keluarga

Bentuk asuhan  ibu bapa dan peranan ahli keluarga merupakan faktor penyumbang utama gejala lepak dalam kalangan remaja. Ibu bapa authoritarian yang mengenakan hukuman dan peraturan yang melampau terhadap anak-anak akan menyebabkan remaja memberontak dan mencari inisiatif sendiri untuk lari dari tekanan. Ada juga ibu bapa yang terlalu permisif dan

tidak mahu bertanggungjawab terhadap kehidupan anak-anak. Selain itu, sikap ibu bapa indulgent yang kurang mementingkan disiplin anak-anak menyebabkan remaja tidak tahu mematuhi peraturan. Dapatan kajian menunjukkan sebanyak 70% responden bebas melakukan aktiviti lepak di khalayak ramai di kompleks membeli belah  tanpa pengetahuan dan kawalan ibu bapa. Pengaruh bapa dan ahli keluarga terdekat yang  menjadi perokok turut memberi kesan kepada remaja lelaki khasnya. Hasil kajian menunjukkan sebanyak 60% responden lelaki dan 20% responden perempuan merokok. Kurang komunikasi dalam keluarga menyebabkan remaja memilih rakan sebaya atau orang luar sebagai saluran untuk meluahkan perasaan dan masalah. Sebanyak 40% remaja mengalami tekanan di rumah memilih aktiviti lepak sebagai aktiviti yang boleh menghilangkan  stres. 40% daripada responden dibesarkan oleh ibu tunggal atau  dibawah penjaga, menyebabkan remaja rasa terabai dan kurang kasih sayang. Pengabaian didikan agama pula telah meruntuhan  kesopanan dan keimanan individu. Hasil pemerhatian,  40% remaja perempuan gemar berpakaian mendedahkan aurat mata tanpa rasa segan silu apabila berada di khalayak ramai. Hilangnya nilai-nilai agama, moral dan kesopanan menyebabkan 20% remaja  beraksi kurang sopan dengan pasangannya sambil berdua-duaan. Di dapati 80% daripada responden berlagak jahil agama dan mengakui tidak pernah mengerjakan sembahyang dan berpuasa semenjak berada di bangku sekolah menengah. Hal ini berlarutan kerana perbuatan mereka tidak dapat dikesan atau ditegur oleh ibu bapa. Kurangnya didikan agama dan sikap ibu bapa yang mementingkan urusan kerjaya menjadikan remaja bertindak bebas.

d)     Pengaruh Rakan Sebaya.

Temubual dan pemerhatian yang dibuat ke atas responden membuktikan bahawa 50% remaja yang terlibat dalam gejala lepak adalah pelajar sekolah menengah. Selebihnya adalah remaja yang tercicir dan juga pelajar di  institusi pengajian tinggi. Kritikan daripada rakan-rakan serta guru di sekolah  menjadi punca pelajar bermasalah berasa terpinggir dan memilih aktiviti lepak sebagai jalan keluar dari masalah tersebut. Hasil tinjauan mendapati sebanyak 60% remaja terjebak dalam aktiviti lepak adalah kerana pengaruh rakan. Mereka yang menghabiskan masa melepak di khalayak ramai ini tidak memilih rakan, sebaliknya mereka turut bergaul dengan pelajar yang tercicir. Remaja yang lemah akan mudah terpengaruh  dengan rakan yang lebih dominan. Personaliti rakan yang negatif akan menjadi ikutan  dan  diterima dalam kelompok

mereka.

Hasil pemerhatian mendapati, kelompok remaja lepak dapat dikesan dengan mudah menerusi cara mereka berpakaian dan menghias diri. Ada kelompok yang gemar berpakaian serba hitam lengkap dengan aksesori bercorak unik dan ada pula kelompok remaja yang selesa berpakaian ala hip-hop dan bertopi. Hasil temubual mendapati bahawa 50% remaja memilih mencari hiburan di luar dan menikmatinya bersama rakan-rakan atau pasangan. Rasa tidak selesa dan tekanan yang dirasai dari rumah menyebabkan remaja memilih untuk melepak bersama rakan-rakan.

e)      Pengaruh media dan saluran internet

Kajian ini menunjukkan 40% daripada responden gemar melepak bersama rakan di internet kafe. Menerusi laman sembang di internet  seperti facebook, twiter dan skype remaja mampu memperolehi rakan baharu dengan cepat dan mudah tanpa perlu bersemuka.  Menerusi laman-laman web yang tidak dikawal, remaja turut terdedah dengan maklumat dan unsur negatif seperti unsur-unsur ganas dan lucah. 60% daripada responden yang di temubual memilih berada di pusat permainan, siber kafe dan mini pawagam bersama rakan. Mereka akan menghabiskan masa untuk berhibur dan melepak  sekitar 5 hingga 8 jam sehari pada hujung minggu dan 3 hingga 4 jam sehari pada hari persekolahan.

            f) Taksub Kepada Modenisasi Dan Budaya Asing.

Baik remaja lelaki mahu pun perempuan gemar berpeleseran dan tinjauan menunjukkan 60% daripada responden berbuat demikian. 40% daripada responden perempuan menyatakan amat gemar membeli belah atau meninjau kedai-kedai yang menjual barangan perhiasan dan pakaian  wanita. Kegilaan pada fesyen dan gemar bergaya menjadikan remaja ini menghabiskan masa dan wang untuk memenuhi keinginan mereka. Duduk berjauhan daripada ibu-bapa atau tiada kawalan daripada keluarga menyebabkan remaja hilang nilai-nilai budaya dan tradisi. Perubahan gaya hidup tidak lagi selari dengan nilai agama kerana perasaan taksub akan kemodenan dan budaya baharu. 40% remaja berani mempamerkan aksi kurang sopan bersama pasangan kerana terpengaruh dengan budaya asing. Hasil pemerhatian menunjukkan 60% remaja lelaki gemar mengusik anak gadis yang mengunjungi pusat beli belah tersebut. 40% remaja lelaki dan 20% remaja perempuan suka berbuat bising semasa melepak bersama kumpulan.

            Mereka akan bergelak ketawa, berbual dengan suara yang kuat dan ada kalanya bermain gitar sambil menyanyi. Perbuatan ini sedikit sebanyak menganggu keselesaan pengunjung selain menunjukkan sikap kurang sopan mereka. Remaja yang lemah pendirian akan hilang jati diri dan terpengaruh dengan cara hidup baharu yang menyimpang dari budaya dan agama.

4.3       PERKAITAN  BUDAYA LEPAK DALAM PROSES SOSIOLISASI

Amalan budaya lepak mempunyai perkaitan dalam proses sosiolisasi. Apabila remaja bermasalah berkumpul, sudah tentulah pelbagai masalah sosial yang akan wujud. Masalah utama yang wujud ialah masalah ponteng dalam kalangan pelajar. Hasil tinjauan di sebuah sekolah menengah di Daerah Bukit Mertajam, laporan daripada Unit Hal Ehwal Murid 2011 menunjukkan purata kehadiran murid Tingkatan 4 ialah 88% dan 83% untuk pelajar Tingkatan Lima. Daripada jumlah pelajar tidak hadir, hanya 45% pelajar yang tidak hadir bersebab dan selebihnya dikenal pasti sebagai ponteng. Ini menunjukkan bahawa gejala lepak mendorong pelajar bertindak berani ponteng. Amalan ponteng menyebabkan pelajar gagal menguasai kemahiran yang diajar oleh guru setiap dan sekaligus membawa kepada keciciran dalam pelajaran. Akibatnya, pelajar tidak dapat menjawab peperiksaan dengan baik dan gagal menjadi pelajar yang cemerlang.

Perbuatan melepak bersama pasangan secara bebas akan menggalakkan penzinaan dan maksiat. Tanpa disedari oleh remaja perempuan, melepak mendedahkan mereka kepada bahaya kemungkinan dirogol atau terjerumus dalam aktiviti seks bebas. Kesan yang paling membimbangkan  ialah kemungkinan berlaku kehamilan luar nikah. Rentetan daripada itu, maka berjadilah kes-kes pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi kini. Merujuk dalam www.kpwkm.gov.my  iaitu laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kes rogol  di seluruh negara di antara tahun 2003 (29 kes) dan 2008 ( 35 kes). Peningkatan ini setara dengan kes pembuangan bayi yang dilaporkan pada tahun yang sama iaitu 17 kes (tahun 2003) dan 22 kes (tahun 2008). Tidak dapat disangkal, perbuatan melepak mendedahkan remaja kepada pelbagai masalah sosial yang lain seperti tabiat merokok, penagihan dadah, mencuri barangan di pasar raya, vandalisme dan sebagainya. Semua tingkah laku negatif ini amat berkait rapat dengan gejala lepak dan meninggalkan kesan yang hebat dalam proses sosiolisasi.      

4.4       KESAN BUDAYA LEPAK KEPADA STRUKTUR SOSIAL MASYARAKAT

Budaya lepak memberikan kesan mendalam pada struktur sosial masyarakat. Di antaranya ialah keruntuhan akhlak dan hilang nilai-nilai moral. Keadaan bertambah buruk apabila masalah ini melanda remaja Melayu beragama Islam. Tingkah laku yang ditunjukkan adalah bertentangan dengan budaya dan adap sopan masyarakat Melayu serta  amat menyimpang daripada  ajaran Islam. Keadaan ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu Islam semakin lemah kerana tidak mempraktikan ajaran Islam dan gagal membentuk anak-anak remaja menjadi insan cemerlang. Sikap remaja yang bertindak di luar kawalan menambahkan lagi masalah dan merenggangkan  hubungan kasih sayang dalam keluarga. Sikap ini juga mewujudkan jurang sosial antara golongan remaja dengan ahli masyarakat yang sentiasa memandangan serong terhadap mereka. Remaja bermasalah akan dipinggirkan oleh masyakarat kerana dianggap tidak berguna. Jika tidak dibendung, budaya lepak hanya akan mewujudkan generasi lemah dan tidak produktif. Remaja bermasalah ini lebih mementingkan hiburan dan mudah terjebak dalam gejala sosial. Mereka mengabaikan peranan sebagai generasi muda yang bakal memimpin negara. Remaja lemah bermakna masa depan negara akan turut terjejas kerana negara memerlukan barisan pemimpin yang berilmu, berwibawa, bertanggungjawab, berdisiplin dan berakhlak mulia.

 

4.5       BENTUK KAWALAN SOSIAL BAGI MENANGANI GEJALA LEPAK

Bagi mengatasi masalah gejala sosial yang semakin meruncing kini, peranan beberapa pihak perlu diberi perhatian. Anataranya ialah peranan ibu bapa dan masyarakat. Ibu bapa dengan kerjasama ahli masyarakat perlulah mengawal dan mengawasi anak-anak. Selain diberikan didikan agama yang secukupnya, anak-anak perlu didik dengan disiplin yang tegas. Ibu bapa perlu menjadi  role model pada anak-anak.  Sudah tiba masanya, masyarakat mengubah pemikiran dan menjadikan sikap ‘menjaga tepi kain orang’ sebagai satu kemestian dalam usaha membantu mengatasi masalah sosiaol seperti gejala lepak ini. Ini bermakna setiap ahli masyarakat perlu mengenali jiran sekelilingnya dan bersedia campur tangan untuk memberi nasihat yang baik kepada anak-anak muda yang terlibat dalam gejala sosial. Masyarakat juga perlu mengubah persepsi mereka tentang remaja bermasalah dan jangan mudah pandang serong .

            Pihak kerajaan juga perlulah mengambil peranan yang lebih berkesan.Jabatan Penerangan Malaysia haruslah mengiatkan lagi kempen-kempen kesedaran dan anti lepak. Iklan-iklan  dan maklumat tentang kesan amalan melepak sewajarnya  diterbitkan dengan lebih efektif. Menerusi sistem pendidikan, pelajar-pelajar boleh diberi pendedahan tentang bahaya sikap suka melepak. Kurikulum yang lebih bersepadu dan sukatan pelajaran yang lebih menyeluruh perlu digubal dalam usaha mendidik anak-anak tentang bahaya melepak. Selain itu, undang-undang yang lebih ketat perlu dikenakan dengan meluaskan lagi bidang kuasa pihak berkuasa tempatan untuk menahan remaja salah laku. Pihak kerajaan dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan boleh menyediakan kemudahan yang sesuai untuk remaja seperti padang bola atau gelanggang futsal untuk mengalakkan remaja beriadah secara berkumpulan. Dengna cara ini diharapkan remaja mempunyai ruang untuk melepaskan tekanan di samping mendapatkan hiburan melalui riadah.

Peranan media telivisyenjuga amat penting  dalam menangani gejala lepak ini. Di antara inisiatif yang boleh diambil ialah menyiarkan program yang berunsurkan keagamaan, nasihat dan kesedaran tentang bahaya gejala sosial ini kepada masyarakat. Pihak media juga boleh menerbitkan bahan bacaan dan  filem yang memberi pengajaran. Selain itu, mereka bolehlah menganjurkan program untuk ibu bapa demi meningkatkan ilmu keibubapaan.

5.0       PENUTUP

Slogan ‘Belia Tonggak Negara’, ‘Belia Harapan Bangsa’, ‘Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok’ semakin sukar  kita realisasikan  jika golongan remaja hari ini semakin lemah. Remaja hari hari ini adalah golongan penting dalam masyarakat kerana mereka menjadi tulang belakang kepada sesebuah negara. Remaja yang bakal menjadi belia negara haruslah penyayang, berakhlak mulia, cekal, berani mencuba dan bijak menangani masalah. Ini adalah  sifat yang perlu dikumpul dan digarap untuk menjana negara. Sorotan yang di petik dalam http://www.belia.org.my :Seorang tokoh ilmuwan, Malik Bennabi dalam pandangannya mengenai golongan muda menyatakan bahawa sekiranya generasi muda itu unggul daripada seluruh aspek, maka kita akan saksikan sebuah negara yang unggul dapat dibina, tetapi sekiranya generasi muda itu lemah dan lesu, maka kita akan saksikan keruntuhan sebuah negara.

Sehubungan  dengan itu, kajian yang dibuat berdasarkan  pemerhatian dan tinjauan dalam tempoh masa terhad ini diharapkan dapat memberikan gambaran awal tentang gejala sosial yang melanda masyarakat kini. Permasalahan ini bukan sahaja memberikan kesan kepada struktur masyarakat, bahkan mampu meninggalkan impak yang negatif kepada negara. Perlulah disedari, bahawa remaja masa kini adalah generasi bakal pemimpin negara di masa hadapan. Oleh itu,  adalah menjadi tanggungjawab kita selaku pemimpin di masa kini untuk mengawal dan mencegah penyakit sosial seperti ini agar tidak menjadi lebih parah. Ibu bapa, ahli masyarakat, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan hendaklah memainkan peranan yang sewajarnya. Kita perlulah  bersatu hati dan mengembleng tenaga dalam menjalankan sebarang usaha atau menjayakan kempen dalam mencegah gejala lepak daripada terus berleluasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan